Selasa, 3 September 2013

PENGENALAN PANTUN

Pantun merupakan warisan seni dan sastera  melayu lama yang merupakan daya intelektual orang Melayu zaman dahulu. Pantun merupakan satu bentuk lisan atau bertulis yang masih digunakan oleh masyarakat Melayu sehingga sekarang.      Pantun juga dapat menggambarkan dan menceritakan  tentang budaya orang Melayu zaman dahulu yang penuh dengan sopan santun, kehalusan budi bahasa, kebesaran pemerintahan Raja Melayu, adat istiadat istana, ketangkasan dan kehebatan panglima Melayu dan juga keindahan pemandangan ataupun suasana di zaman dahulu ketika itu. Pantun juga merupakan salah satu cara seseorang ingin meluah dan melahirkan perasaan atau menyatakan perasaan rindu dendam, cinta, kecewa, hampa, pujian serta sanjungan, kemarahan  dan sebagainya  kepada seseorang yang lain.  Pantun juga boleh ditulis untuk menceritakan tentang kebesaran Ilahi dan boleh  memberi kesedaran dan dapat memberi petunjuk kepada insan yang lain.  Pantun juga boleh ditulis untuk memberi pengajaran kepada anak-anak.  Pantun juga dapat membuatkan seseorang akan terpegun dan terpesona malah boleh menyebabkan seseorang jatuh cinta danboleh  memukau jiwa kalbu apabila mendengar ayat yang indah dan puitis yang  menceritakan tentang sesuatu perkara. Pantun juga kerap digunakan di dalam majlis rasmi, upacara merisik, meminang dan juga dalam majlis perkahwinan orang Melayu. Pantun boleh dibuat dua baris, empat baris,  enam baris, terpulang kepada penulis bagaimana cara dia mengolah menjadi pantun yang baik dan menarik dengan  menggunakan bahasa yang indah.

Definasi Pantun dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat terbitan tahun 2005, membawa maksud puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan yang selainnya maengandungi maksudnya) berbalas ~ mengucapkan pantun bersambut-sambutan.
 
Blog ini saya buat khas untuk semua jenis pantun.  Setiap pantun akan saya asingkan mengikut kategori  mengikut kesesuaian pantun tersebut.  Saya berharap koleksi pantun ini boleh dimanfaatkan dan  digunakan oleh pembaca lain yang memerlukannya untuk pelbagai perkara.  Saya juga amat mengalu-alukan pantun dari pembaca untuk dimasukkan ke dalam blog saya.  Saudara yang ingin memasukkan pantun saudara ke dalam blog saya boleh menulis pantun tersebut ke dalam ruangan komen dan saya akan masukkan nama saudara sebagai tanda penghargaan.   Selamat berpantun.